The Danish Girl

Aku bukanlah obses sangat kisah-kisah transgender ni sebab selalunya cerita transgender ni pusing-pusing dengan jalan cerita yang sama atau lebih kurang sama je. Paling selalu aku tengok -- kisah transgender yang merasakan dirinya mangsa. Balik-balik cakap pasal naluri. Cakap pasal dirinya yang terperangkap di dalam jasad yang salah. Then cerita tentang dendam masa silam -- di sebabkan dia di buli masa kecik dulu jadi jiwanya memberontak. Bila rasa dah cukup besar, pilih untuk tukar jantinan sebab dendam dengan kaum berbeza jantina yang dulu menghancurkan hidupnya. Ermmm.. really......?!!


Maaf, aku memang tak pernah faham dengan cerita-cerita begini. Dan susah aku nak bibitkan rasa simpati kepada orang-orang yang memilih untuk tukar jantina ni. Sama ada Muslim atau Non-Muslim, aku memang tak boleh nak hadam. Sebab... itu PILIHAN kau. Bukan siapa-siapa. Bukan salah takdir. Allah tak pernah silap meniupkan roh ke dalam jasad hamba yang Dia cipta. Allah tak pernah salah tulis perjalanan hidup kita dari mula tersenyawa sampai di ambil semula nyawa kita. Tak pernah salah..! Aku bukan nak jadi ustazah sangat kat sini, tapi sebagai Muslim, ini lah yang aku pegang. InsyaAllah sampai akhir nyawa aku di dunia.


Cuma........ untuk kes-kes TERSENDIRI yang berkecuali, aku boleh beri sedikit ruang. Terutama untuk mereka yang mengaku mereka tersilap, mereka tak dipandu atau tak di beritahu sampai akhirnya membuat keputusan-keputusan yang salah. Kemudiannya mereka tersedar dan menyesal tapi tak mampu berpatah balik. Kes-kes berbeza macam ni pada aku menarik. Ia kisah perjuangan, struggle dan pengorbanan yang tak mampu aku bayangkan sebesar mana. Hanya dia yang rasa dan tanggung. Satu lagi kalau memang khunsa, yang ni cerita lain eh. Memang lahir sebagai khunsa dan sepanjang hayatnya penuh kekeliruan dan peperangan dalaman -- adalah kes luas biasa mencabar. Hanya Allah yang tahu.


The Danish Girl (2015)

Kisah biografi seorang pelukis terkenal sekitar tahun 1930 bernama Einar Wegener yang dikatakan sebagai lelaki pertama pernah membuat pembedahan menukar jantina dalam sejarah dunia. Pembedahan itu berjaya. Pembedahan itu "membunuh" Einar secara alami dan "melahirkan semula" Lily Elbe yang sejak dulu hidup terperangkap di dalam jasad Einar. Kisah ini menjanjikan satu perjalanan emosi yang sarat dan menyentap rasionalisasi manusia normal seperti kita. Cuba untuk menerima dan bersimpati dengan Lily tetapi hati tahu ia salah. Namun tak mampu nak menolak ketentuan bahawa Lily juga manusia biasa yang lemah, manusia biasa yang mahu bahagia dan sememangnya berhak bahagia.


Kisah hidup Lily Elbe ini berdasarkan catatan diari yang ditulis sendiri oleh Lily sebelum dia mati pada usia 49 tahun. Malah selepas pembedahan terakhir yang Lily jalani menemui kegagalan, Lily menulis di dalam diarinya -- dia tahu masanya telah tiba. Kisah hidup Lily ini dibukukan dan di beri tajuk Man Into Woman : The First Sex Change. Pada tahun 2001 pula, buku ini di tulis semula dengan tambah tokok cereka oleh David Ebershoff's yang memberi tajuk bukunya : The Danish Girl. Buku ini lah yang di adaptasi kepada filem dengan tajuk sama pada tahun 2015. Lakonan Eddie Redmayne menyempurnakan kisah Einar bertukar menjadi Lily dengan sangat mengesankan.


Sepanjang menonton filem ni, aku tak duduk senang. Kening dan urat dahi aku berkerut-kerut untuk cuba faham dan hadam emosi Einar dan isterinya Gerda yang rupanya bisexual. Skrip yang klasik dan berkias-mias buatkan jalan cerita filem ini cukup mendebarkan namun asyik sekali. Beberapa kali jantung aku di sentap dengan scene demi scene yang mengejutkan. Dan ya, menitik juga airmata aku melihat jiwa Einar yang terseksa dan hati Lily yang terluka. Terutama masa Einar berusaha berjumpa doktor dan didiagnosis sebagai Schizophrenia pula. Tak sanggup membayangkan yang lebih-lebih tapi dia juga manusia, ada perasaan. Dia mencari dirinya sendiri bertahun-tahun lamanya -- akhirnya bertemu tapi tak mudah. Dia tahu keputusannya akan membawa dia kepada dunia berbeza tapi dia PILIH untuk mengambil jalan itu dan bersiap menghadapi apa sahaja kesan akibatnya. Oh Allah...!


Apa yang aku belajar dari filem ini..?

Aapa pun yang kita rasa ada di dalam diri kita ini sama ada yang nampak atau yang halus -- semuanya adalah ciptaan dan kurniaan Allah. Tidak sekali-kali Allah cipta dan beri kita untuk sia-sia. Belajar kenal diri. Belajar dengar suara sendiri. Sebab hanya kita yang tahu apa yang kita rasai, apa yang kita dengar, apa yang kita bawa dan apa yang kita pendamkan. Hanya kita sahaja..! Jadi, ambil masa.. cuba kenal dan faham diri. Jangan jadi manusia yang keliru dan biar hidup kita hanyut dalam ketidakpastian.


Tapi....... kena faham satu perkara : Dalam hidup ni memang ada benda yang kita tak faham dan tak akan faham. Jangan paksa diri untuk faham apa yang Allah tak benarkan kita faham. Rahsia Allah adalah hal yang di luar kemampuan kita sebagai manusia untuk faham. Jadi jangan terlalu mencari jawapan kepada soalan yang Allah dah klasifikasikan sebagai rahsia Allah. Kita kena tahu limit dan kemampuan diri kita. Paling tidak, kembalikan semula kepada Allah. Apa-apa yang kita rasa atau apa-apa naluri yang berbeza tak mampu kita urus tu -- kembalikan semula kepada Allah.


Lily Elbe mati selepas pembedahan kelima yang dia buat untuk "membina" rahim di dalam badannya. Dia bercita-cita untuk menjadi wanita yang boleh mengandung dan melahirkan anak. Fahamlah satu perkara di sini -- Doktor boleh buang kemaluan lelaki dan gantikan dengan kemaluan wanita tetapi doktor tak boleh menukar fungsi kemaluan itu melebihi apa yang di"pasangkan". Sama seperti payudara, doktor boleh tanam implan sebanyak mana tapi payudara itu sendiri tidak mampu menghasilkan susu secara semulajadi. Apatah lagi rahim, mungkin boleh "dipasang" tetapi bukan untuk fungsi mengandungkan janin manusia. Allah Maha Adil, Lily. Allah bagi apa yang kamu inginkan tetapi kamu mengharapkan yang lebih-lebih. Allah sayang kamu, sebab tu Allah "ambil semula" kamu sebelum kamu buat lebih banyak kerosakkan kepada tubuh kamu sendiri. Kalaulah kamu belajar untuk bersederhana dengan apa yang telah diberikan, mungkin pengakhiran kamu berbeza.


Filem ini membawa kesan emosi yang meninggalkan parut dalam hati aku. Membuka mata dan hati aku untuk berlaku lebih adil kepada golongan transgender. Mulai hari ini, aku berusaha untuk tidak judge mereka daripada satu sudut pandang sahaja. Aku perlu buka pemandangan dari darjah berbeza dan lebih menyeluruh. Selama ini aku terlalu ego dan sombong merasakan diri sendiri sahaja yang betul, tetapi sesungguhnya aku insan kerdil sekerdil-kerdilnya. Tiada daya upaya aku menafikan dugaan manusia lain. Siapalah aku. 


Semoga Allah melindungi aku dan seluruh keturunan aku dari dugaan yang tak mampu kami waraskan dengan akal fikiran. Segalanya aku kembalikan semula kepada Allah s.w.t.




p/s : transgender ni yang memang dah tukar jantina ya. yang perempuan perwatakkan kasar dan suka pakai ala tomboy -- itu bukan transgender. sama juga untuk lelaki yg perwatakkan lembut, suka memasak, suka bersolek, suara kepit tapi tetap solat saf lelaki dan tak buang "loceng" -- tu bukan transgender. mohon jangan nak keliru sangat. aku kawan dan terima semua bentuk rupa asalkan tak ubah ciptaan Allah dan tak buat dosa-dosa besar (yang aku tak tahu, tak payah cerita). Okey...? 



...




No comments:

Powered by Blogger.