KEBENARAN AKAN MENDAPAT TEMPAT

Setiap kali aku terbaca kisah anak-anak yang terpisah daripada ayah atau ibunya kerana perceraian -- aku bersedih. Atau bila terbaca kisah anak-anak yang terbiar, menjadi biadap dan liar kerana kurang kasih sayang dan perhatian daripada ibu dan ayah yang sudah bercerai-- jiwa aku hancur. Apatah lagi bila terbaca kisah anak-anak yang rebel kerana terlalu lama menyimpan dendam pada ibu atau ayah yang tidak berlaku adil kepada mereka -- aku risau bercampur takut. Dunia membesarkan manusia dengan ketidakadilan. Kasihan jiwa-jiwa yang tidak bersalah ini menjadi mangsa.


Aku sendiri ada dua orang anak-anak tiri. Yang sulung sudah berusia 16 tahun dan yang bongsu sudah 14 tahun. Satu hari nanti mereka akan bertanya "kenapa ayah ceraikan mak? dan kenapa ada ummi selepas mak?" atau mungkin soalan-soalan lain yang tak aku jangkakan. Bohong kalau aku tak risau. Selama ni aku rasa anak-anak itu masih kecil untuk faham. Tapi 11 tahun berlalu, anak-anak itu sudah menginjak remaja dan aku tahu mereka akan mula mencari jawapan di setiap persoalan. Aku berdoa pada saat bila pun dan dalam bentuk apa pun jawapan yang mereka dapat dari soalan-soalan itu -- semoga mereka mendapat jawapan yang benar dan tiada lain selain benar semata-mata benar.


Ummi nak kakak dan adik tahu, ummi kenal ayah kamu selepas 7 bulan ayah bercerai dengan mak kamu iaitu selepas 20 bulan mak kamu memfailakan permohonan cerai. Sebelum itu, demi Allah.. ummi tak pernah kenal ayah dan mak kamu dan tak tahu apa yang berlaku di antara mereka sehingga akhirnya bercerai. Ummi terima ayah kamu dengan statusnya dan segala apa yang dia miliki saat itu semata-mata Lillahitaala dan ummi tahu keputusan ayah kamu untuk berkahwin semula adalah semata-mata untuk kebaikan kamu berdua dan bukan kerana kepentingan dirinya. Satu hari nanti bila kamu berdua sudah berkahwin dan ada anak-anak sendiri, kamu akan faham tindakan ayah kamu ini.


Ummi juga nak kamu berdua tahu, ummi tak pernah "ambil" ayah daripada kamu berdua dan ummi tak akan sekali-kali mahu memisahkan ayah daripada kamu berdua. Malah ummi dan ayah mencuba sedaya upaya untuk selalu ada untuk kamu berdua dan melakukan apa sahaja untuk mendekatkan jarak yang memisahkan kita semua ini. Ayah sangat sayangkan kamu berdua. Walaupun ayah tak pandai tunjuk, tapi ummi sangat-sangat berharap kalian sedar dan selalu merasakan kasih sayang ayah kamu walau di mana kalian berada.


Anak-anak,

Segala apa yang telah dituliskan takdir untuk kita ini, terima lah dengan redha dan hati terbuka. Tiada siapa yang bersalah di dalam kisah kita ini. Bukan salah mak, bukan salah ayah dan semestinya bukan salah kalian berdua. Semuanya adalah takdir. Ummi tak kisah apa pun pandangan orang luar terhadap ummi dan ayah kamu tetapi yang paling penting adalah emosi dan perasaan kamu berdua. Biar satu dunia salah faham, tak mengapa tapi kamu berdua mesti tahu kebenaran dan jangan sekali-kali salah faham pada ayah. Hormati dan sayangilah ayah kamu selayaknya. Sampai akhirat sana, dia tetap ayah kalian dan satu-satunya lelaki yang paling sayangkan kalian lebih dari nyawanya sendiri..


Aku percaya walau apa pun yang melanda dunia seluruhnya, kebenaran tetap akan mendapat tempatnya. Salah faham berlaku dan akan terus berlaku kerana manusia penuh kekhilafan. Dunia berputar, masa beredar dan manusia tumbuh membesar dalam tipu daya dan kepalsuan. Tetapi Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Aku dah lama ikhlas memaafkan segala apa fitnah mereka terhadap aku. Tak pernah simpan dalam hati pun sebab aku tahu mereka tak kenal aku sepenuhnya. Mereka boleh cakap dan anggap apa sahaja. Aku yakin sesungguhnya, Allah pasti akan memenangkan mereka yang benar. Itu sahaja. Cukuplah yang sudah-sudah.





p/s : aku tak kisah apa pun mereka nak sogok dalam kepala anak-anak. nak kata kami putar belit ke. nak kata kami hipokrit ke, terpulanglah. mereka yang beria-ia nak tegakkan benang yang basah tu, tak sedar ke dah buka pekung di dada sendiri..? wallahualam. aku serah semuanya atas kekuasaan Allah s.w.t. jua.


...


1 comment:

Powered by Blogger.