DOA 2 | Tuhan, Jadikan Aku Seorang Pemaaf

Aku keras hati. Tidak mampu aku nafikan lagi. Tak guna berdalih juga. Memang aku keras hati. Dan aku masih belum berjumpa dengan ubat untuk melembutkan hati ini. Aku simpan banyak rasa dalam hati aku ni, aku kumpul dan gumpal kemas-kemas hingga menjadi keras. Aku simpan banyak hal dan rahsia juga. Yang tak mampu aku luahkan semuanya walau berkali-kali aku cuba. Aku tak pasti ada lagi ke manusia yang keras hatinya macam aku atau mungkin hatinya lebih keras lagi. Aku tak tahu. Tapi kalau ada, tolong beritahu dia tentang aku. Team keras hati forever..!

Tuhan,
Lembutkan hati ku. Lunakkan jiwa ku. Jadikan aku seorang yang tidak berdendam dan menyimpan dendam. Tuhan, jadikan aku seorang pemaaf. Aku perlukan maaf untuk menjadikan aku kekal waras. Aku tidak mahu menyimpan apa-apa di dalam hati lagi. Aku mahu lepaskan, maafkan dan lupakan. Aku sudah penat menjadi manusia keras hati. Tuhan, tolong aku cari penawar hati ini.

Ada orang bagi 'petua' nak lembutkan hati, kena banyakkan membaca Al-Quran. Aku dah buat. Aku mengaji setiap hari walaupun merangkak, walaupun tak fasih tajwid, walaupun tak merdu. Tapi aku mengaji setiap hari dan baca tafsir ayat-ayat yang aku baca. Kadang-kala aku 'terjumpa' makna ayat yang menusuk jiwa dan membuatkan aku menangis. Benar ayat-ayat Allah itu tinggi 'khasiatnya'. Untuk seketika, hati aku berasa damai sedamai-damainya.

Ada juga orang pesan, nak lembutkan jiwa kena banyak-banyak solat sunat taubat. Itu juga aku buat dan aku cuba amalkan setiap hari sebelum tidur, solat sunat taubat dua rakaat dulu. Ini DMFK pesan dan aku masih cuba nak amalkan. Kadang-kala culas juga. Ye lah, bukan setiap hari mood aku di tahap tinggi. Datang malas tu, memang tidur terus sahaja. Baca doa sebelum tidur pun kadang-kadang terlupa.

Tuhan,
Jadikan aku seorang yang selalu mengingatiMu dan sentiasa rindu untuk mendekatiMu. Jadikan aku seorang yang mencintai ibadah. Jadikan aku seorang yang tidak berkira dalam beribadah. Tuhan, peluk aku dan pimpin aku untuk selalu di jalan Mu. Jangan biarkan aku hanyut membawa diriku sendiri. Sesungguhnya aku hambaMu yang penuh rasa tidak percaya. Jangan serahkan hidupku di tangan ku sendiri. Tuhan, tunjukkan aku jalan kepadaMu.

Dan yang sebenarnya.......

Tuhan,
Jadikan aku seorang yang mampu memaafkan diri sendiri. Jadikan aku damai dengan segala kelemahan-kelemahan dan ketidakupayaan diri ku ini. Sama ada yang nampak ataupun yang tersembunyi. Tuhan, izinkan aku memaafkan diri ku. Dan memaafkan masa silam ku. Aku ingin berdamai dengan masa silam ku yang menyakitkan. Aku tidak mahu kenangan-kenangan sedih itu terus menghuni hati ku dan hidupku lagi.

Tuhan,
Maafkan aku dan masa silamku. Maafkan hidupku yang penuh dendam pada hal yang telah berlalu. Maafkan aku kerana tidak mampu melupakan dan membuang rasa itu. Maafkan aku kerana tidak jujur memaafkan mereka yang melukai ku. Maafkan aku kerana menjadi lemah dengan dendam yang tak pernah padam. Tuhan, maafkan aku tidak sunguh-sungguh mahu faham makna maaf yang sebenar. Tuhan, maafkan aku kerana tidak mampu memaafkan.

Tuhan,
Di akhir jalan ini nanti, terima lah aku dengan segala ibadah ku, taubat ku, kekhilafan ku... dan masa silam ku yang tak termaafkan...




...


No comments:

Powered by Blogger.