38 TAHUN

Hari ini 20 November 38 tahun lalu, aku di lahirkan. Kalau ikut surat beranak, aku lahir sebelah petang di Hospital Pantai KL. Lahir sebagai anak kedua untuk mak dan ayah dan merupakan 'puteri' pertama untuk mereka. Nama aku ayah dah pilih siap-siap. Waima masa abang aku lahir setahun sebelum aku, ayah nak bagi nama 'Ain' tu pada abang aku tapi ramai yang nasihatkan nama 'Ain' lebih sesuai untuk anak perempuan. Jadi ayah aku peram nama 'Ain' sampai aku lahir. So, aku kira.. lahir-lahir sahaja aku ke dunia, ayah dah siap panggil aku dengan mana itu. Alhamdulillah aku suka nama aku. Ringkas sahaja. 6 huruf dengan tanda koma di tengah-tengah.


Hari ini 20 November jatuh pada hari Jumaat dan aku work from home. Maka aku ada banyak masa untuk diri sendiri. Sejak tiga empat tahun lepas, aku melazimi diri untuk melebihkan solat taubat bila tiba hari lahir aku. Cuma dua tahun lepas aku sambut birthday dalam keadaan uzur jadi hanya mampu berdoa panjang-panjang dan berzikir banyak-banyak. Bukan hari lain tak buat solat taubat, buat juga. Tapi solat taubat pada 20 November lebih special. Lebih banyak airmata. Lebih sungguh-sungguh. Entah lah, aku dan segala emosi yang sarat tak terurus ni memang selamanya cepat pecah-pecah.


Aku ini pendosa. Sangat banyak dosa. Walau tak pernah buat dosa-dosa besar macam bunuh orang ke, berzina ke, syirik ke.. Nauzubillah..! Tapi dosa tetap dosa. Dosa kecil, dosa hati, dosa anggota badan, dosa kiri dan kanan. Dosa tetap dosa. Aku banyak dosa. Aku banyak tak betul. Makin bertambah usia, semakin berat bahu kiri ni. Aku takut tak mampu nak angkat bahu lagi. Aku sangat takut mati dalam dosa. Ya Allah Yang Maha Pengampun, ampunkan dosa-dosa aku. Aku hambaMu yang hina dan banyak lupa. Ampunkan aku Ya Allah, kepadaMu aku serahkan segala sesal dan keinsafanku. Hanya Kau yang Maha Mengetahui segala apa yang sedang aku rasai ini.


Aku jauh dari sempurna. Aku tak nak pun jadi sempurna. Aku cuma nak bahagia dan sederhana. Aku nak hidup biasa-biasa. Lagi dua tahun dah masuk 40 tahun, InsyaAllah kalau panjang lagi umur aku. Tak banyak yang aku nak kejar lagi. Aku hanya nak berdamai dengan hidup aku, dengan diri aku sendiri dan dengan jalan kehidupan yang telah ditentukan untuk aku ini. Aku dah tak ada daya nak kejar semua yang ada dalam kepala aku. Cukup lah. Beri aku ruang dan masa untuk jadi biasa-biasa sahaja.


Hari ini 20 November, aku hadiahkan diri sendiri sepasang telekung baru dan sebuah buku refelksi diri. Semoga menjadi penguat aku untuk terus mencari diri dan mengejar cinta Illahi. Semoga juga aku bisa tenang-tenang dan tidak mudah pecah untuk hal-hal remeh lagi. Aku ingin menjadi pemaaf dan memaafkan semua masa silam ku yang pahit dan tercalar. Tapi izinkan aku memaafkan diri sendiri dahulu kerana tanpa kemaafan, aku menjadi manusia pendendam. Dan menjadi manusia pendedam tidak ada lain selain memenatkan, melelahkan dan menyakitkan.


Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran Yang Ke-38 Ain.


Cukup lah Ain yang dahulu.

Mari menjalani hidup dengan biasa-biasa sahaja.



...



2 comments:

  1. selamat ulangtahun kelahiran. semoga dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki.

    ReplyDelete

Powered by Blogger.