Tercari-Cari dan Ternanti-Nanti

Aku di dalam proses membuat satu keputusan besar dalam hidup. Keputusan yang akan menentukan di mana aku berada hujung tahun ini. Dan keputusan ini sangat besar dan sangat penting. Walau sekuat mana aku cuba bertenang, nampak tenang, hidup dengan normal.. tapi percayalah di dalam hati aku sedang berpusing puting beliung yang maha dasyat. Berputar-putar sampai beberapa kali rasa nak muntah. Aku cuba bertahan untuk tidak terlalu memikirkan hal itu tapi tak mampu. Aku jadi susah nak tidur sebab fikiran aku sebenarnya sarat. Buat masa ni aku belum kuat untuk kongsikan hal ni di blog ni, tapi mungkin satu hari nanti bila dah bersedia aku akan kongsi juga. Sebab aku rasa banyak sangat yang aku nak luahkan dan mungkin apa yang aku akan kongsikan nanti boleh beri iktibar kepada orang lain. Entah lah.

Seperti ramai orang lain, bila berhadapan dengan dua pilihan (atau lebih) cara terbaik adalah buat solat istikharah. Itu lah talian hayat paling baik. Pertolongan paling ampuh dan cara paling meyakinkan untuk mendapatkan jawapan dan kepastian. Maka.. ya, aku pun tunaikan solat istikharah. Aku dinasihatkan untuk buat solat istikharah 7 malam berturut-turut dan pilih satu waktu yang spesifik sahaja. Contohnya buat solat istikharah selepas solat Isyak. Buat sampai 7 malam berturut-turut. Aku juga di ajar doa yang spesifik di baca selepas solat istikharah tu. Doa tu juga digalakkan baca selepas setiap kali selesai solat fardhu atau pada bila-bila masa ketika hati rasa tak tenang. Dalam doa tu mintalah sungguh-sungguh Allah berikan petunjuk yang jelas.

Kemudian pada malam ketujuh tu nanti, ambil Al-Quran beserta tafsirnya. Selak mana-mana muka surat dan baca maksud ayat yang tertera di muka surat itu. InsyaAllah ada jawapan pada ayat-ayat Al-Quran tersebut. But of course, sebelum nak selak Al-Quran tu kau doa lah elok-elok. Selawat banyak-banyak dan minta Allah berikan petunjuk melalui naskhah Al-Quran yang mulia itu. Berlapang dada dengan apa jua yang mungkin kau "temui" di sebalik makna ayat-ayat Al-Quran tu.

Satu lagi kaedah yang di ajar kepada aku adalah : di muka surat Al-Quran yang kau selak tadi tu, cuba kau kira berapa banyak huruf Ho dan berapa banyak huruf Shim. Kalau banyak huruf Ho, maknanya pilihan yang kau nak tu betul dan kalau banyak Shim, maknya buatlah pilihan yang sebaliknya. Tapi kaedah ni boleh dilakukan hanya jika kau dah ada pilihan yang spesifik cuma tak pasti pilihan tu Allah redhai atau tidak. Kalau kau masih rasa 50-50 then kaedah ni tak boleh diguna pakai.

Ikut pembacaan aku, ada orang dapat petunjuk dalam mimpi, ada orang dapat petunjuk dengan Allah hadirkan orang-orang tertentu (yang rapat dan dipercayai) untuk bagitahu apa keputusan yang sebaiknya. Tapi ada juga orang yang dapat petunjuk melalui pembacaan, pemerhatian dan gerak hati. Begitulah. Tak menentu cara petunjuk tu datang. Aku sendiri berdebar-debar. Sentiasa rasa berdebar-debar sebab semua yang aku baca, semua yang aku tengok, semua yang aku dengar -- semua aku sangka adalah petunjuk. Aduhhh...! letih macam ni.

Aku masih dalam proses mencukupkan 7 malam solat istikharah aku. Jadi aku masih di dalam proses. Cuma aku rasa penat sangat nak pujuk hati untuk bertenang dan berlapang dada. Kadang-kadang aku jadi takut nak tidur sebab takut petunjuk Allah datang dalam mimpi dan aku tak boleh terima petunjuk tu dengan lapang hati. Faham tak maksud aku..? Bukan aku tak percaya ketentuan Allah, tapi kadang-kadang aku rasa belum bersedia dan belum kuat nak terima.

Masalahnya, bila tak tidur pula.. aku asyik tercari-cari mana petunjuknya. Dalam kepala ni asyik berkira-kira dan tercongak-congak. Penat dan melemaskan. So, aku share sini dengan harapan lapang sikit dada aku ni. Aku mohon doa sahabat-sahabat di sini, tolonglah doakan aku kuat menghadapi apa jua jawapan kepada solat istikharah aku nanti. Doakan aku mampu berlapang dada dan doakan lah apa jua keputusan yang aku akan ambil nanti, aku tetap akan terus jadi aku yang sama macam dulu dan sekarang ni. Aku takut aku tak boleh handle diri sendiri.. :(

"..Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Mengetahui segala yang zahir dan yang batin, bantulah aku di dalam melalui dugaan Mu ini. Aku hambaMu yang lemah dan tidak berdaya tanpa belas ihsan Mu Ya Allah. Janganlah serahkan hidup ku kepada diri ku sendiri. Aku hamba Mu yang banyak khilaf Ya Allah. Ampunkan lah aku Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. Ya Tuhan Pemilik Sekalian Alam.."


...


4 comments:

Powered by Blogger.