Segala Rasa Yang Tak Terluah

Dengan segala rasa yang aku simpan di dalam hati, aku melutut merendahkan diri di sini. Di hadapan Mu yang Maha Suci, ambillah semuanya. Aku kembalikan segala rasa yang pernah kau berikan ini, aku tak mampu merasainya lagi. Ya Rabb, aku mengakui kekalahan ini. Aku menyerah diri. Tak mampu aku lawankan lagi. Tidak ada daya upaya ku untuk mempertahankannya jua. Segala usaha dan ruang telah aku korbankan. Yang tersisa hanyalah hatiku yang kosong dan kebas tidak merasai apa-apa lagi.

Tuhan, 
Perjalanan ini maha panjang dan kering kontang. Aku kedahagaan. Telah juga aku kelelahan menahan dan bertahan. Aku sendirian tidak di sokong kasih mahupun sayang. Aku sendiri dan merasa sunyi. Perjalanan ini terlalu berliku untuk hati ku yang tidak punya cinta lagi. Tanpa cinta, aku tidak punya apa-apa lagi untuk ditongkatkan. Aku rapuh dan sedang menghancur. Tuhan, kasihankan lah aku. Ambillah aku kembali. Kutipkan lah sisa-sisa yang tercerai ini.

Segala rasa yang tak terluah ini telah lama aku telan dalam-dalam. Aku janji, hanya Kau dan aku sahaja yang tahu rasa ini. Dan akan ku pegang janji ini sampai aku mati. Walaupun segala rasa yang tak terluah ini tak mampu aku lepaskan dan tak mampu aku luahkan tetapi tak akan sesekali aku lupakan. Seisi dunia pun tak akan faham, biar aku kumam rasa ini dalam bungkam. Rasa ini rahsia antara kita sahaja Tuhan. Antara kita sahaja Tuhan, janji..!

Untuk sekian kali, ampunkan aku Tuhan.
Ampunkan aku di atas rasa tidak berdaya ini.
Ampunkan aku kerana memilih untuk berputus asa di sini.



...

No comments:

Powered by Blogger.