Ya Latiffu Ya Kaafi

Sudah masuk 15 Ramadan. Sudah separuh perjalanan dan perjuangan ini. Entahlah berapa banyak bekal yang telah benar-benar di kumpul. Kantung terpikul di bahu kanan serasa masih sangat-sangat ringan. Sedar diri ini masih terlalu lemah dengan bisikan hati. Tak kuat nak buang dunia begitu sahaja. Kadang menghadap Allah pun masih menerawang memikir hal-hal yang tak mengundang pahala. Astaghfirullah ala'zim. Hanya kepada Mu aku pohon keampunan.

Aku masuk dalam Ramadan kali ni dengan satu pencarian dan persoalan yang selama ini aku penat dah simpan. Hampir 5 tahun aku mencari jawapan. Aku tolak, aku tarik. Aku lupakan, aku mimpikan. Aku buang, aku kutip kembali. 5 tahun sudah. Aku penat. Aku sudah tidak betah mencari lagi.

Oleh itu, aku rendahkan diri serendah-rendah nilai hambaNya yang kerdil.. dan aku serahkan semuanya kembali kepadaNya jua. Aku yakin jawapan yang aku cari hanya ada padaNya. Aku percaya hanya Dia yang akan mampu melunaskan segala kecelaruan persoalan di dalam benakku selama ini. Jadi, aku sujud meletakkan dahi ku separas ibu jari kaki, lalu menyerahkan jiwa naluri dan segala-gala yang ku risaukan ini kembali pada yang Maha Mengetahui.

Aku sangat-sangat berharap Ramadan kali ini, semuanya akan terjawab. Cepat atau lambat. Zahir atau batin. Aku tak peduli lagi. Asalkan segalanya terjawab dan terjelas apa adanya. Aku tak larat nak berteka-teki lagi. Hati aku tak tenang selagi tak dapat jawapan. Tapi dalam masa yang sama, debarannya juga maha kuat. Takut kalau keputusan yang Allah berikan tidak seperti yang aku bayangkan. Allahu Akhbar...!

Ya Latiffu Ya Kaafi
(Wahai yang Maha Lemah Lembut, yang Maha Mencukupi)
Ya hafizu Ya Syafi
(Wahai yang Maha Menjaga, yang Maha Menyembuhkan)
Allah Ya Latifu Ya Kaafi
Ya Hafizu Ya Syafi
Allah Ya Latifu Ya Wafi 
Ya Karimu Anta Allah

Maujud Lailahaillallah Lailahaillallah
Maqsud Lailahaillallah Lailahaillallah
Ma’bud Lailahaillallah Lailahaillallah
A’zim Lailahaillallah Lailahaillallah

Zikir Ya Latiff yang aku amalkan siang dan malam. Minta Allah beri ketenangan hati dan buangkan resah gelisah yang berkecamuk dalam diri aku ni. Aku nak hadap Ramadan dengan tenang dan khusyuk. Benda-benda lain, aku letak tepi. Kecuali satu hal ni, yang selalu menganggu tidur lena aku setiap malam. Yang satu ni, aku masih menunggu jawapan.

Ya Allah, permudahkan lah.
Sesungguhnya Kau yang Maha Memudahkan segala apa yang tersulitkan.
Aamiin.. Aamiin.. Aamiin Ya Rabb..


...

No comments:

Powered by Blogger.