Tentang Empati

Tentang PKP yang dah masuk fasa-4 siap tambah PKP Bersyarat bagai ni, aku rasa terpanggil juga nak memberikan sepatah dua kata (sepatah dua ke..?). Sebab aku teringat kata-kata Bront Palarae masa awal-awal PKP dilaksanakan dulu. Masa tu Namron invite dia dalam IG Live. Aku tak tengok keseluruhan perbualan mereka, tapi part Bront cakap pasal empati tu buat aku berfikir dalam-dalam. Lebih kurang kata-kata dia macam ni :
"..Dalam keadaan sekarang ni, yang paling penting adalah rasa EMPATI dalam diri kita. Benda-benda empati ni kau tak belajar dalam subjek matematik ke sains fizik kimia segala. Empati ni kau dapat dari subjek seni. So, siapa-siapa yang dulu kata subjek seni tak penting, harapnya sekarang dah buka mata lah.."
Aku rasa apa Bront cakap tu ada betulnya. Benda-benda empati ni bukan belajar dari nombor, graf dan statistik apa ke benda. Tapi kita belajar dan pupuk rasa empati ni dari dalam diri melalui pemerhatian, pengamatan, cerita-cerita tauladan, filem, lagu dan apa-apa jua bentuk persembahan yang kita tengok live depan mata sama ada dalam rumah atau luar rumah kita. Empati ni mahal harganya. Orang-orang hebat dan berhati besar je ada nilai empati dalam diri dia.

Empati bukan semata-mata kasihan dan simpati tapi lebih daripada itu. Dalam suasana PKP sekarang, ramai yang hilang empati tu. Sedih aku tengok manusia yang pentingkan diri bersepah-sepah kat negara kita. Tak payah petik bab bangsa apa dan agama apa, sebab semua bangsa dan agama pun ada ajar bab empati ni. Manusia je yang bodoh tak nak belajar.

Orang-orang filem dah lama buat kerja mereka bab nak pupuk empati dalam hati masyarakat. Tapi masyarakat juga yang pandang rendah kat orang-orang filem ni. Semua filem mereka anggap sampah, padahal ada berapa banyak filem yang bagus, sarat mesej, ajar command sense dan menghiburkan kita sambil menegur lembut. Kita yang tak nak ambil filem sebagai ilmu. Kita anggap filem hanya untuk buang masa.

Ustaz dan ustazah pun dah ceramah banyak pasal empati ni. Kisah-kisah rasul dan nabi pun semua ada selitkan pasal empati. Tinggal kita sahaja lah yang nak ambil kisah-kisah tu sebagai tauladan atau tidak. Islam itu kesejahteraan dan kelembutan dalam ketegasan. Tak pernah Islam ajar kita jadi manusia hati kering yang hanya fikir tembolok dan perut sendiri sahaja. Malah Islam suruh kita jaga diri, jaga keluarga, jaga jiran dan jaga saudara2 kita. Kalau tak ada empati, memang tak ada la rasa nak jaga semua tu.

Kita semua sedang di uji, kawan-kawan..
Jangan fikir kita sorang je susah. Orang lain pun ada susah masing-masing. Ya, kita tak dapat bantu semua tapi jangan tambah luka la. Orang lain buat kebaikan, kita support. Bagi semangat, doakan dia, kalau ada duit lebih tu bagi sumbangan, kalau boleh share kita share biar lebih ramai boleh bantu dan menyumbang. Empati ni tak susah pun kawan-kawan. Empati ni dalam hati kita je.

Tepuk dada, ukur la level empati kita yang sebenarnya.
Musim PKP dalam Ramadan ni, semua ujian jadi berganda.
Tapi yakinlah dengan janji Allah : kita semua akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita buat. Tinggal nak buat dengan tak nak buat je.


p/s  :  kita mati pun orang tolong tanamkan.. nak pentingkan diri jauh mana kita ni..?


...

No comments:

Powered by Blogger.