Ku Semadikan Pepohon Kemboja, Yang Bunganya Adalah Hati Ku

Selamat kembali ke daerah sunyi ini. Lima haribulan lima, dua puluh dua puluh. Selepas sekian kali, rindu untuk bercerita datang lagi. Dan seperti biasa, tak tahu nak mula di mana. Bekalnya cuma rindu. Modalnya adalah harapan dan kata-kata segunung yang tersimpan tak terluahkan. Sambil mendengar lagu Srikandi Cintaku oleh gemersik suara M.Nasir, pagi ini aku kembali meniti daerah sunyi ini. 

Rindu aku tak...? kahh..

Tiga bulan aku bercuti tanpa gaji. Kali ketiga dalam 13 tahun tempoh perkhidmatan. Boleh tahan. 3 bulan ini aku berehat serehat-rehatnya. Aku amalikan teori "sihat mental lebih penting dari sihat fizikal" maka masa-masa aku banyak di habiskan untuk merenung diri, perbetul diri, perkuatkan spritual, lebihkan membaca, lebihkan bersyukur apa adanya.. aku banyakkan bercakap dengan hati dan banyakkan masa bersendiri dengan Tuhan. Isi balik jiwa-jiwa yang kosong. Yang jauh mengelamun dan menghanyut. Aku jauh dari sempurna. 3 bulan tidak cukup untuk aku isi semua, tapi alhamdulillah sekurang-kurangnya ada.. setidak-tidak pun, aku dah cuba.

Aku lebih ceria sekarang. Lebih tenang. Lebih terisi. 
Maka terima kasih untuk 3 bulan tempoh berehat ini.
Aku belajar banyak hal tentang diri aku sendiri. Ehh, dah 37 tahun baru nak kenal diri..?? Percayalah, proses mengenal diri ni tak ada tarikh luput. Selalu dan sentiasa. Sampai hari ni masih explore lagi.

Sepanjang 3 bulan ni juga aku kurangkan aktiviti di media sosial. Lagipun sejak dah private kan IG dan FB ni, kuranglah sedikit aku sibuk pasal orang. Terima kasih buat yang faham. Terima kasih buat yang masih mencari aku bila aku menghilang. Buat aku rasa ada nilai. Memang aku kecilkan circle ni sebab aku mula belajar menghargai nilai. Terima kasih. 

Tahun 2020 nampaknya sangat mencabar.
Bermula dengan sangat getir dan sehingga hari ni masih bertarung menyambung nyawa. Belum habis separuh masa pertama, ramai dah tumbang. Bukan tak nak terima kenyataan, tapi aku takut membayang masa depan. Tahun 2020 sangat kasar dengan kita. Tak sedikit yang Dia bagi. Betul-betul kaw tak ada nafsu-nafsi. Benda yang asing kini jadi new normal untuk semua. Entah dah bersedia atau tidak, tahun 2020 nampaknya tak menunggu kita.. Dia bagi cukup-cukup semuanya..! sampai terduduk kita.

Angan-angan zaman kanak-kanak kita tentang betapa indah dan betapa hebatnya 2020, rupa-rupanya hanya tinggal cerita. Yang terhidang sebaliknya. Benda halus bernama virus itu sedang mengajar kita, bahawa sesungguhnya kita ni hanyalah hambaNya yang tak ada daya upaya jauh sekali kuasa. Kita pandai cakap sahaja. Kita pandai dabik dada -- menongkat langit -- membelah samudera kononnya.. tapi sekali Yang Berkuasa merejam petir, bertempiaran kita. Itu belum lagi di tiup sangka kala, agaknya terlucut kain baju.. berlari bogel kita menggugah mencari Dia.. 

Tuhan, simpankan sedikit belas kasihan Mu kepada jiwa-jiwa yang sedang berjuang ini. Hati-hati yang tidak mahu mengalah ini. Keringat-keringat yang tak pernah mengering ini. Berbelas kasihanlah kepada kami, Tuhan.

Selamat menjalani ibadah puasa.. :)
Stay safe. Stay strong. Stay at home..!



...

No comments:

Powered by Blogger.