Kuatlah Hati

Kepada yang mengikuti perkembangan kes suami kemurungan tikam isteri sampai isteri terpaksa melahirkan bayi dalam kandungan walau belum cukup bulan tu, tentu rasa terkejut dan simpati. Aku pun sama. Dari kali pertama berita tu sampai pada aku, hati aku macam kena gosok dengan kertas pasir. Ngilu dan pedih.

Aku simpati kepada si isteri yang kena tikam kemudian cedera dan terpaksa melahirkan bayinya secara pembedahan. Aku simpati kepada anak-anak mereka yang lagi dua orang tu, yang melihat sendiri bapa mereka menikam ibu mereka tanpa perasaan apa. Trauma yang mereka lalui dan bakal bawa di dalam memori sampai bila-bila itu adalah satu bentuk trauma yang menakutkan dan kejam. Mereka belum cukup matang untuk faham. 

Tapi, simpati aku lebih membuak-buak kepada si suami. Kemurungan kerana tekanan di tempat kerja. Baru berusia 38 tahun. Isterinya seorang guru. Anak dah dua nak masuk tiga. Sepatutnya dia sudah berada di stage yang stabil dan baik-baik sahaja meneruskan hidup. Rupa-rupanya dia sedang terperangkap di dalam jasad yang tidak dia kenali. Dari luar nampak okey sahaja, tapi di dalam bergelora di landa tsunami jiwa. 

Kemurungan bukan hal biasa-biasa. Kalau sampai menikam dan mencederakan orang sekeliling, dah kira kronik tu. Mujur tak membawa maut. Andai kata maut si isteri tu, dah jadi kes bunuh pula walaupun keadaan si suami tak sedar dan sakit mentalnya. Allah masih sayangkan mereka sekeluarga dan Allah sedang menunjukkan jalan keluar untuk mereka. Mungkin nampak macam kejam, tapi siapalah kita untuk menghukum. Si isteri dan anak-anaknya berhak bahagia dan si suami juga berhak sembuh.

Hakim mahkamah arahkan si suami dapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Bahagia. Kalau 'sangkut' memang terus jadi penghuni Hospital Bahagia tu sampai bila-bila. Terpisahlah suami daripada isteri dan anak-anaknya. Dalam keadaan yang dia sendiri mungkin tak sedar dan tak faham. Anak-anak yang bertiga tu pula terpaksa menelan hakikat bapa mereka penghuni Hospital Bahagia. Dan masa depan mereka masih tidak jelas bagaimana akhirnya.

Ya Allah, besarnya dugaan. Aku hanya mampu mendoakan yang baik-baik untuk mereka. Aku memang sebak baca berita tu semalam. Kasihan tu melimpah-ruah. Dalam diam, aku berharap sungguh-sungguh si suami akan pulih satu hari nanti. Si isteri dan anak-anak pula aku harap mampu terus tabah dan terus memberi sokongan supaya suami/bapa mereka boleh sembuh. Harapan masih ada. Dunia belum tamat untuk mereka.

Tidak ada sesuatu yang terjadi di alam semesta ini tanpa izin dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Percayalah hanya kepada-Nya. Kembalikan gundah-gulana kita kepada-Nya. Sesungguhnya kita semua adalah hamba-Nya yang lemah dan sentiasa di uji. 

Kuatlah hati. Kuatlah hati.



...

No comments:

Powered by Blogger.