DOA 3 | Tuhan Jadikan Aku Selalu Dekat Dengan Mu

Bagaimana aku harus memulakan ini..? Aku berbelah bahagi. Mungkin aku tidak patut berkongsi hal ini, tapi mungkin aku memang patut kongsikan hal ini sejak dari dulu lagi. Aku di tengah-tengah. Aku tahu, aku bukan sendirian menghadapi hal ini. Jadi aku perlu luahkan, supaya aku bisa terus berjalan ke hadapan dengan dada lapang dan bahu yang ringan. Aku cuma harap tulisan ini tidak di salah anggap. Segala yang buruk dan silap itu daripada aku dan yang baik mulia semuanya daripada Allah s.w.t. Segala kuasa dan rahmatNya jua yang menggerakkan hati aku untuk menulis hal ini.

Aku struggle setiap kali nak solat. Tak tahu macam mana nak explain apa yang aku struggle sangat. Aku sedar, aku tak patut rasa struggle lagi. Aku sudah 37 tahun hidup. Dah solat sejak 30 tahun dulu. Sepatutnya solat sudah menjadi ritual lazim untuk aku. Sepatutnya aku sudah faham dan cukup masak segala hal tentang kewajipan solat. Aku sudah tua, seharusnya tidak perlu diingatkan lagi tentang solat. Malah aku sudah di usia yang sewajibnya aku pula mengajak orang untuk sama-sama solat bukan tunggu orang baru aku nak solat.

Tuhan, mengapa pada usia setua ini aku masih belum menemui manisnya solat..? Mengapa aku masih belum mengerti..? Mengapa solat itu masih menjadi satu hal yang berat untuk aku..? Apakah hati aku sudah terlalu gelap untuk terus nampak indahnya solat..? Dosa-dosa ku sudah terlalu banyak tak terhitung sehingga solat bukan lagi penawar kepada segala kesakitan dan kegusaranku selama ini..? Tuhan, tolong tunjukkan aku jawapan. Tolong berikan aku laluan untuk mengerti semua ini.

Kalian pernah merasai apa yang aku rasai..?
Can you understand how much I'am struggle everyday..?

Apa yang kalian buat..? Apa sahaja nasihat dan tips yang aku tak buat..? Aku belajar untuk khusyuk, belajar faham makna bacaan dalam solat, belajar ambil wudhuk dengan lebih kerap dan belajar jaga wudhuk, jaga makan supaya boleh jaga wudhuk, aku makan jamu dan makan supplement supaya badan selalu bertenaga tak lemau, tak malas, tak berat nak solat. Aku cuba semua tips tu. Tapi masih rasa beratnya solat. Setiap kali masuk waktu solat, aku bergelut di dalam hati dengan diri sendiri. Kadang-kala sampai rasa nak meraung bila fizikal tak mahu mengalah dengan mental. Hati suruh solat tapi badan buat malas. Macam-macam alasan buat melengahkan. Kadang-kala aku give up. Aku jadi penat nak pujuk diri untuk angkat bontot -- bangun -- dan sempurnakan solat. 

Sudah 30 tahun aku melalui hal yang sama di setiap kali. Sampai bila lagi..? Walaupun aku tak pernah culas solat, tetap solat walau hujung-hujung waktu. Tetap solat walau tak khusyuk. Tetap solat walau laju macam keretapi ETS, tetap solat walau banyak mengeluh, tetap solat walau tak betul-betul faham kenapa aku kena solat..!

Sesekali dalam beberapa bulan, aku akan menemui satu titik damai dalam solat. Indahnya Subahanallah. Solat dalam keadaan aku paling bersedia, rasa bahagia, tenang dan hati yang berbunga-bunga. Itu antara moment paling bahagia dalam hidup aku. Dapat solat dalam tenang, khusyuk dan bahagia tu macam dapat seguni emas punya happy rasanya. Seusai solat, dapt duduk dan berdoa lama-lama sampai menitiskan airmata. Waktu tu rasa nak hentikan masa. Aku terlalu bahagia bila sesekali Allah murahkan rezeki aku dapat mencuit sedikit rasa manisnya solat.

Tapi tu lah, sesekali sahaja dapat rasa nikmat tu. Di setiap kali yang lain, aku masih struggle nak sempurnakan solat. Padahal aku ni Hajjah. Suami aku Haji. Mak ayah aku Haji dan Hajjah. Mak ayah mertua aku pun Haji dan Hajjah. Sekolah agama aku cemerlang. Penampilan aku muslimah. Keliling aku semua orang baik-baik dan ahli solat. Bacaan dan hiburan aku semua mendorong kepada solat dan ibadah. Aku bukan liar. Aku bukan kaki kelab. Aku bukan urban. Aku sangat konservatif, sangat menjaga dan bersih dari segala rekod buruk.

Di mana silapnya..? 

Tuhan, 
Jadikan aku hambaMu yang mencintai solat. Jadikan aku hambaMu yang tidak lagi melihat solat itu dengan berat. Tuhan, kurniakan aku hidayah dan petunjuk Mu. Aku ingin selalu mengingatiMu dan mengutamakan Mu di dalam apa jua keadaan. Tuhan, dekatkan aku dengan solat. Bukakan hati ku untuk selalu merindu saat-saat esklusif bersama Mu. Tuhan, ajarkan aku tentang erti solat yang sebenar. Terangkan hati ku untuk mengerti. Aku tidak mahu lagi melihat solat sebagai kewajipan tetapi sebagai satu kesempatan untuk selalu kembali kepadaMu.

Tuhan,
Aku tahu, solat itu bukan ibadah fizikal semata-mata. Solat itu datang dari hati dan qalbu yang suci. Tuhan, bersihkan hati ku. Buang jauh-jauh segala rasa berbelah bahagi dan tercari-cari yang selama ini meracuni hati ku. Tuhan, penuhkan hati aku dengan keyakinan dan kasih sayang kepadaMu. Aku tahu Kau Maha Mengasihani lagi Maha Mengetahui segala apa yang ada di dalam hati sanubariku ini. Bersihkan lah Ya Allah. Bersihkan lah Ya Allah. Aku hambaMu yang lemah, tiada daya upaya ku melainkan dengan rahmat dan belas Mu.

Tuhan, 
Jadikan aku seorang yang khusyuk dalam mengejar cinta Mu. Jauhkan aku dari putus asa. Jadikan aku seorang yang sentiasa tercari-cari dan sentiasa mengemis keampunan Mu. Aku rindu untuk selalu merasai rasa kehambaan itu. Aku takut jauh dari Mu Ya Allah. Aku takut lupa diri dan rasa besar diri Ya Allah. Peliharalah aku Ya Allah. Kerana kekuasaan dan kehakiman Mu, adili lah selayaknya diri ku yang hina ini Ya Allah. Mohon janganlah Kau uji aku dengan ujian yang di luar kemampuan ku.

Tuhan,
Berbelas kasihanlah kepada ku, hamba Mu yang penuh kekurangan dan kelemahan ini. 





...

No comments:

Powered by Blogger.